BAB 1
MIKE TYSON
1997
“Semua barang dah ambil?”
Azril tengok belakang.
Beg ada.
Fail ada.
Barang entah apa-apa yang mak suruh bawa pun rasanya ada.
“Dah.”
Mak pandang dia.
“Betul?”
“Betul.”
“Jangan nanti dah sampai baru kata tertinggal.”
Azril tersengih. “Kalau tertinggal, poslah.”
“Sedap mulut.”
Liza ketawa dari belakang.
Linda pun ikut ketawa walaupun entah dia faham atau tidak apa yang lucu.
Abah tak banyak cakap. Macam biasa.
Pagi itu mereka sekeluarga menghantar Azril ke Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu.
Umur baru lapan belas tahun.
Budak lagi sebenarnya.
Cuma bila dah dapat surat masuk maktab, automatik rasa diri tu macam orang dewasa.
Bakal cikgu.
Ada elaun.
Tinggal jauh dari keluarga.
Hebatlah kononnya.
Belum tahu lagi hidup macam mana.
---
Sampai sahaja di maktab, terus hilang segala perasaan hebat tadi.
Ramai orang.
Kereta sana sini.
Satu keluarga datang hantar anak , dah macam pesta.
Beg.
Kotak.
Fail.
Budak-budak baru yang semuanya nampak macam tahu apa yang mereka buat.
Azril seorang saja rasa macam tak tahu nak pergi mana.
“Daftar dekat mana?”
“Mana aku tahu,” jawab Liza.
Azril pandang adiknya.
“Hang mai hantar aku buat apa?”
“Teman mak.”
“Bagus.”
Mereka mencari tempat pendaftaran bersama-sama.
Abah ikut.
Mak ikut.
Liza ikut.
Linda ikut.
Pendek kata, seorang nak masuk maktab, satu keluarga masuk sekali.
Nasib baik tak daftar lima orang terus.
Selepas beberapa urusan, isi itu, tunjuk ini, pergi sana, datang sini, akhirnya selesai juga.
Sah.
Azril kini seorang guru pelatih.
Dia pandang sekeliling.
Okey.
Tak susah mana pun.
Kemudian mak mula hendak balik.
Barulah rasa tak sedap.
---
Sebelum berpisah, Azril diberi wang belanja.
Lebih kurang lima ratus ringgit.
Dia pegang duit itu.
“Untuk sebulan.”
Azril mengangguk.
Dalam kepala terus buat kira-kira.
Lima ratus.
Sebulan.
Banyak tu.
Boleh teruskan hidup di saat berjauhan dari keluarga.
Boleh buat belanja makan.
Mungkin boleh bergaya sikit.
Dia belum tahu lagi perangai budak rumah sewa macam mana.
Kalau semua kaki makan, dua minggu mungkin dah tengok siling.
Mak pesan supaya jaga diri.
Abah pun memberikan pesanannya.
Liza dan Linda ada di situ.
Tadi suasana biasa saja.
Tiba-tiba bila sampai masa mereka betul-betul hendak pergi, Azril jadi diam.
“Terima kasih abah , mak sebab hantar saya ”
Mulut cakap lain.
Hati lain sikit.
Kereta bergerak meninggalkannya.
Azril berdiri memandang.
Abah ada dalam kereta itu.
Mak ada.
Liza.
Linda.
Semakin jauh.
Kemudian hilang daripada pandangan.
Senyuman Azril hilang dalam sekejap.
Sunyi pula rasa.
Pertama kali.
Betul-betul seorang.
Dia telan air liur.
Kalau ikut hati, mahu juga balik sekali.
Tapi takkan baru daftar sejam dah berhenti maktab.
Apa benda.
Azril menghembus nafas.
“Tak apa. Boleh.”
Belum sempat perasaan sedih itu berkembang menjadi drama Melayu pukul tujuh—
“PELATIH LELAKI SEBELAH SINI! PEREMPUAN SEBELAH SANA!”
Azril tersentak.
“Hah?”
Terus tak sempat rindu mak dan abah .
---
Semua pelatih baru dikumpulkan.
Lelaki dan perempuan diasingkan.
Azril masuk kumpulan lelaki.
Dia tengok kiri.
Tengok kanan.
Semua muka asing.
Ada yang nampak baik.
Ada yang nampak serius.
Ada yang baru lima minit kenal orang sebelah sudah boleh gelak macam kawan sejak darjah satu.
Kemudian datang arahan seterusnya.
“Yang rambut pendek, sini.”
Azril mula pelik.
Apa kena mengena rambut?
“Yang rambut panjang, sana.”
Beberapa orang bergerak.
Azril memandang.
Ada seorang dua yang rambut memang boleh tahan.
Bergaya.
1997.
Zaman rambut masih ada nilai seni.
Budak-budak kumpulan rambut panjang itu nampak tenang.
Mungkin mereka fikir akan diberi nasihat.
Sebagai bakal guru, saudara hendaklah menjaga penampilan...
Lebih kurang begitulah.
Sekali keluar gunting.
Azril terus tegakkan badan.
“Ooops…”
Baru faham.
Budak sebelahnya berbisik.
“Habislah.”
Azril tahan ketawa.
Yang rambut panjang kena gunting.
Terus.
Tak ada kompromi.
Tak ada rayuan.
Tak ada banyak cakap .
Gunting.
Seorang demi seorang menerima takdir masing-masing dengan redha.
Ada yang muka selamba.
Ada yang muka macam baru kehilangan harta pusaka.
Azril pegang rambut sendiri.
Nasib baik.
Selamat.
Dia senyum tengok seorang mangsa lalu di hadapannya dengan wajah muram.
Dalam hati nak gelak.
Tapi hari pertama.
Jangan cari pasal.
Mana tahu lepas ni mereka asingkan pula ikut saiz badan atau ketinggian atau lebih parah ikut bentuk hidung.
---
Azril fikir itu sudah cukup pelik.
Belum.
Mereka kemudian diberikan kad nama.
Seorang demi seorang dapat satu.
Azril ambil kadnya.
Dia baca.
Diam.
Baca sekali lagi.
MIKE TYSON
Dia pandang orang yang bagi kad.
Pandang kad.
Pandang orang itu balik.
“Mike Tyson?”
Tak ada siapa peduli.
Azril tengok kad orang lain.
Lagi dahsyat.
Ada Jalak Lenteng.
Ada Bob Marley .
Ada Awie .
Azril terus rasa lega.
Mike Tyson okey lagi.
Sekurang-kurangnya juara dunia.
Dia sangkut kad itu dengan penuh bangga.
Kalau nak bagi nama orang lain, bagi elok-elok.
Mike Tyson kot.
Belum sampai seminit dia rasa bangga—
“MIKE TYSON!”
Azril menoleh.
“Ya?”
“Gaya!”
“Gaya apa?”
“Mike Tyson!”
Azril terkebil-kebil.
Kemudian baru faham.
Alamak.
Dia angkat dua tangan ke muka.
Kepal tangan.
Pasang guard .
Gerak kiri.
Gerak kanan.
Puk!
Satu tumbukan ke udara.
Orang sekeliling ketawa.
Azril pun ketawa.
“Okey?”
“Okey!”
Dia turunkan tangan.
Senang.
Boleh tahan.
Lima minit kemudian—
“MIKE TYSON!”
Azril angkat tangan balik.
Puk! Puk!
---
Masuk hari kedua, dia sudah mula menyesal dapat nama juara dunia.
“Mike!”
Puk! Puk!
“Mike Tyson!”
Puk!
“Mike!”
Puk! Puk!
Entah siapa yang seronok sangat panggil.
Orang lain dapat Awie, bolehlah buat gaya penyanyi.
Bob Marley entah apa dia buat.
Azril?
Bertinju.
Tiga hari.
Tiga hari dia tumbuk angin.
Kalau angin boleh buat laporan polis, mungkin Azril dah kena tangkap.
Yang paling celaka, semakin kerap orang panggil “Mike”, semakin orang lupa hendak panggil Azril.
“Mike, mari sini.”
Azril datang.
“Mike, jom.”
Azril ikut.
“Oi Mike!”
“Apa?”
Habis.
Melekat.
Nama yang sepatutnya digunakan tiga hari akhirnya kekal sepanjang kehidupan maktab.
Azril belum sedar lagi.
Dia ingat lepas orientasi nanti habislah cerita Mike Tyson.
Tidak.
Kad nama memang akan hilang.
Mike tidak.
---
Kemudian datang pula taklimat tempat tinggal.
Pelatih perempuan tinggal di asrama.
Pelatih lelaki?
Rumah sewa.
“Rumah sewa?”
Azril dengar betul-betul pembahagian dibuat.
Ini menarik.
Tak ada mak.
Tak ada abah.
Tak ada orang tanya pukul berapa nak balik.
Tak ada orang suruh tidur bila cukup masa.
Dia tiba-tiba lupa tadi dia sedih tengok kereta keluarga pergi.
Bebas.
Inilah perkataan yang muncul dalam kepala budak lapan belas tahun itu.
Belum terfikir lagi bahagian basuh baju sendiri.
Belum terfikir bab makan.
Belum terfikir rumah bersepah.
Belum terfikir siapa nak kejut pergi kelas.
Yang dia tahu—
rumah sewa.
Dengan budak-budak lelaki lain.
Menarik.
Azril pegang begnya.
Dalam poket ada lebih kurang RM500 bekalan sebulan.
Di dada pula ada kad nama MIKE TYSON.
Pagi tadi dia datang sebagai Azril Hassan, anak yang dihantar abah, mak, Liza dan Linda.
Petang itu dia sedang menuju ke rumah sewa sebagai seorang guru pelatih yang baru sahaja menghabiskan sebahagian harinya menumbuk udara.
Tak buruk untuk hari pertama.
Azril angkat beg.
“Jomlah.”
Dia melangkah pergi.
Belum masuk kelas lagi.
Belum buka buku lagi.
Belum kenal siapa-siapa sangat lagi.
Tapi satu perkara sudah selesai.
Kalau esok ada orang berdiri di tengah jalan dan menjerit—
“MIKE!”
Azril tahu dia kena menoleh.
Cuma harap-harap tak pabahlah bertumbuk lagi.
Penat oii.
BAB 2
RUMAH SEWA
Rumah sewa pelatih lelaki itu tidaklah jauh sangat dari Maktab Perguruan Pasir Panjang.
Lebih kurang lima ratus meter
Kalau berjalan kaki, boleh.
Kalau lambat bangun, lima ratus meter itu boleh terasa macam lima kilometer.
Lebih menarik, rumah-rumah sewa pelatih lelaki semuanya berdekatan antara satu sama lain. Bukan satu rumah tercampak jauh di hujung dunia, satu lagi entah di mana.
Dekat-dekat.
Maksudnya mudah.
Nak cari kawan, senang.
Nak pinjam barang, senang.
Nak melepak, lagi senang.
Nak buat bising sampai satu kawasan dengar pun senang.
Itu paling senang.
Azril sampai ke rumah yang ditetapkan kepadanya bersama barang-barangnya.
Dia berdiri di hadapan rumah itu sekejap.
“Inilah rumah aku?”
Bunyinya hebat.
Rumah aku.
Walaupun sebenarnya rumah sewa.
Walaupun sebenarnya kena kongsi.
Walaupun sebenarnya dia belum tahu katil mana dia dapat.
Tak apa.
Umur lapan belas tahun dah rasa hidup sendiri.
Asalkan tak ada mak yang boleh jerit suruh kemas bilik, itu sudah boleh dikategorikan sebagai kemerdekaan.
Azril masuk.
---
Tak lama kemudian, bermulalah sesi berkenalan.
Ada pelatih senior.
Ada juga pelatih satu batch dengannya.
Antara senior yang Azril mula kenal ialah Ustaz Hasbullah dan Abang Mawi.
Kemudian ada geng satu batch.
Ustaz Shukri, daripada Pengajian Agama Islam .
Manap, daripada Unit Muzik.
Zulkifli, Unit Matematik.
Dan Azmi, daripada Pengajian Melayu.
Azmi paling mudah untuk Azril ingat.
Sebab satu kelas dengannya.
“PM/KT juga?”
“Ha.”
“Sekelaslah kita.”
Sekurang-kurangnya ada seorang.
Daripada berpuluh-puluh muka asing yang dilihatnya sejak pagi, akhirnya muncul manusia yang dia tahu esok lusa akan masuk kelas yang sama.
Manap pula dari Unit Muzik.
Azril pandang dia.
“Unit Muzik?”
“Ha.”
Dalam kepala Azril terus ada satu kesimpulan mudah.
Bagus. Kalau rumah ni nak buat konsert, dah ada orang akan tawarkan diri main alat muzik atau menyanyi.
Zulkifli dari Unit Matematik.
Yang itu pun berguna.
Kalau ada masalah kira duit RM500 nak bahagi tiga puluh hari, boleh tanya dia.
Ustaz Shukri pula Pengajian Agama.
Lagi bagus.
Rumah semakin lengkap.
Ada muzik.
Ada matematik.
Ada ustaz.
Azril PM/KT.
Entah apa fungsi dia dalam rumah itu belum diketahui.
Mungkin untuk cukupkan bilangan penghuni.
---
Petang bertukar malam.
Azril mula rasa lega.
Hari pertama hampir selesai.
Pendaftaran dah.
Keluarga dah balik.
Rambut dia selamat.
Nama Mike Tyson pun dah dapat.
Rumah pun dah jumpa.
Kenal beberapa orang pun dah.
Malam ni bolehlah rehat.
Itulah masalah manusia.
Selalu terlalu awal berharap.
Malam pertama rupanya ada acara lain.
Sesi taaruf.
Pada mulanya bunyi elok.
Taaruf.
Perkenalan.
Kenal-mengenali.
Merapatkan silaturahim.
Membina ukhuwah.
Sedap.
Kemudian geng senior mula datang melawat.
Seorang.
Dua orang.
Kemudian bertambah.
Azril pandang Azmi.
Azmi pandang Azril.
Ada sesuatu pada wajah senior-senior itu yang memberitahu mereka bahawa sesi taaruf ini mungkin tidak melibatkan duduk bersila sambil minum teh.
“Junior semua ada?”
“Ada.”
“Berkumpul.”
Azril duduk bersama yang lain.
Penat sejak pagi belum habis.
Sekarang nak berkenalan pula.
Tak apa.
Kenal sajalah.
Seorang senior berdiri di hadapan.
“Okey. Kita mula.”
Azril bersedia.
Nama.
Asal mana.
Unit apa.
Hobi.
Lebih kurang begitulah agaknya.
“Rukun Negara.”
Azril terdiam.
Hah?
“Baca.”
Junior-junior saling berpandangan.
Tadi kata taaruf.
Bila masa masuk peperiksaan kenegaraan?
Seorang mula.
“Kepercayaan kepada Tuhan…”
Sambung.
Ada yang lancar.
Ada yang sampai prinsip ketiga muka sudah mula mencari jawapan dekat siling.
Senior memandang.
“Tak ingat?”
Senyap.
“Ketuk ketampi.”
Alamak.
---
Maka bermulalah malam yang langsung tidak seperti apa yang dibayangkan Azril.
Rukun Negara.
Nyanyi.
Baca ayat-ayat lazim.
Macam-macam lagi.
Seorang demi seorang kena diuji.
“Hang. Bangun.”
Seorang junior bangun.
“Nyanyi.”
“Nak nyanyi lagu apa?”
“Lagu apa pun.”
Budak itu diam.
“Cepatlah.”
Dia pun menyanyi.
Suara entah ke mana.
Manap yang dari Unit Muzik mungkin mengalami penderitaan paling berat malam itu.
Azril menahan ketawa.
Belum sempat puas—
“Mike Tyson!”
Azril automatik bangun.
Dua tangan terus naik.
Guard.
Kiri.
Kanan.
Puk! Puk!
Senior ketawa.
“Bagus Mike.”
Azril duduk semula.
Dalam hati:
Bagus kepala hotak hang.
Baru hendak tarik nafas—
“Mike!”
Naik balik tangan.
Puk!
Hari pertama dia masuk maktab untuk menjadi guru.
Entah kenapa lebih banyak masa dihabiskan menjadi peninju.
---
Ujian diteruskan.
Ada yang tersalah.
“Ketuk ketampi!”
Turun.
Naik.
Satu.
Dua.
Tiga.
Ada pula yang gagal benda lain.
“Pumping!”
Terus turun ke lantai.
Azril tengok.
Woi.
Ini taaruf ke latihan nak jadi askar ?
Yang berjaya tersenyum puas.
Yang gagal menerima nasib.
Yang belum kena pula sibuk berdoa jangan dipanggil.
Azril cuba duduk belakang sikit.
Strategi mudah.
Kalau tak nampak, tak kena.
“Mike Tyson!”
Tak guna.
Nama dia terlalu senang diingat.
Azril bangun lagi.
Puk! Puk!
Dia mula syak orang yang bagi nama Mike Tyson kepadanya memang berdendam padanya. Masalahnya dendam apa kalau orang tu pun dia tak kenal .
---
Malam semakin panjang.
Tenaga semakin pendek.
Tadi semua masih malu-malu.
Sekarang dah tak sempat malu.
Ada yang kena ketuk ketampi.
Ada yang kena pumping.
Ada yang menyanyi.
Ada yang membaca ayat lazim.
Ada yang tersekat-sekat membaca Rukun Negara.
Anehnya, dalam segala benda mengarut dan memenatkan itu, mereka mula ketawa bersama.
Orang yang petang tadi cuma dikenali sebagai—
“Budak Matematik.”
“Budak Muzik.”
“Budak Pengajian Agama.”
“Budak PM/KT.”
malam itu sudah mula ada nama.
Sudah mula boleh usik.
Sudah mula boleh ketawa sama-sama.
Kalau seorang kena, yang lain gelak.
Bila diri sendiri kena, baru tahu sakit hati.
“Gelaklah lagi,” rungut seorang sambil ketuk ketampi.
Lagi kuat orang ketawa.
Azril pun sama.
Dia gelak orang.
Orang gelak dia.
Adil.
---
Akhirnya sesi taaruf yang hampeh itu tamat juga.
Senior-senior mula beredar.
Rumah kembali tenang.
Beberapa orang terus terduduk.
Ada yang bersandar.
Ada yang baring.
Azril pun melepaskan badan.
“Penat betul.”
Azmi ketawa.
“Baru hari pertama, Mike.”
Azril memandangnya.
“Jangan panggil Mike boleh tak?”
Senyap sekejap.
Kemudian dari suatu sudut—
“Mike.”
Orang lain menyambut.
“Mike Tyson.”
Ketawa pecah lagi.
Azril geleng kepala.
“Hangpa ni…”
Dia sendiri akhirnya ketawa.
Tak sampai dua puluh empat jam di Kuala Terengganu, hidupnya sudah berubah pelik.
Pagi tadi dia bangun bersama keluarga.
Tengah hari dia ditinggalkan di maktab.
Petang dia menjadi Mike Tyson.
Malam pula dia diuji Rukun Negara, menyanyi, membaca ayat lazim dan menyaksikan manusia dihukum ketuk ketampi serta pumping atas nama **taaruf**.
Kalau beginilah hari pertama—
tiga tahun mungkin panjang.
Atau mungkin…
tak cukup panjang.
Azril baring.
Penat.
Mata sudah berat.
Esok entah apa pula.
Satu perkara dia sudah mula faham tentang kehidupan maktab:
**Kalau ada orang kata, “Malam ni kita buat sesi perkenalan saja…”**
Jangan percaya.