BAB 1
Orang Asing
Pintu teksi baru sahaja terbuka ketika Haisya Sofea sudah melangkah keluar dengan telefon melekap di telinga.
“Tak, tak, tak. Mira, tolong dengar cakap aku dulu.”
Satu kaki sudah mencecah kaki lima. Sebelah tangannya mencapai pemegang bagasi di tempat duduk belakang sementara bahunya mengepit telefon yang hampir terlucut.
“Bukan aku sengaja nak tambah cuti.”
Hon berbunyi dari belakang.
Haisya menjeling.
“Yalah, bang. Sekejap!”
Pemandu teksi keluar membantu mengeluarkan sebuah bagasi sederhana besar dari bonet. Haisya menyambutnya dengan satu tangan sambil sebelah lagi kembali memegang telefon.
Di hadapannya, KL Sentral sedang hidup dalam kesibukan yang seperti tidak pernah mengenal perkataan perlahan.
Manusia datang dari pelbagai arah. Ada yang baru keluar dari tren komuter, ada yang tergesa-gesa menuju ke laluan LRT dan monorel, ada yang menarik bagasi besar sambil memimpin anak kecil. Keluarga memenuhi ruang. Suara kanak-kanak berselang dengan bunyi roda bagasi yang bergeser di atas lantai dan pengumuman perjalanan yang bergema dari pembesar suara.
Hari pertama cuti sekolah.
Hari yang sangat tidak sesuai untuk membuat keputusan perjalanan pada saat akhir.
Malangnya, itulah yang Haisya lakukan.
Dia menyelit masuk ke dalam arus manusia sambil menarik bagasinya.
“Aku dah cuba cari tiket bas semalam. Habis. Semua habis. Kau ingat aku suka sangat duduk dua belas jam dalam kereta api?”
Suara Mira di hujung talian menjawab sesuatu.
Haisya menghela nafas.
“Aku tahu.”
Dia memperlahankan langkah ketika sebuah keluarga melintas di hadapannya.
“Aku tahu hujung minggu ni reservation penuh. Sebab tu aku call kau. Tolong cakap dengan bos aku terpaksa extend cuti.”
Sekali lagi Mira berkata sesuatu yang membuatkan dahi Haisya berkerut.
“Jangan ubah roster dulu. Kalau dinner crowd penuh, panggil part-timer. Farah boleh handle floor. Kitchen macam biasa. Kalau ada complaint, jangan terus bagi complimentary meal. Tengok dulu apa masalahnya.”
Beberapa langkah.
“Dan function hari Ahad tu bukan bawah restoran kita. Team Banquet yang handle.”
Nada di hujung talian kedengaran seperti sedang ketawa.
Haisya menjeling telefon walaupun Mira tentunya tidak dapat melihat wajahnya.
“Apa?”
Jawapan Mira membuatkan Haisya mencebik.
“Aku tengah cuti, bukan hilang ingatan.”
Dia berjalan semakin laju.
“Please, Mira. Tolong aku kali ni. Aku tahu aku menyusahkan kau.”
Suaranya berubah sedikit. Kurang tegas daripada tadi.
“Cakap dengan bos aku balik lambat sikit. Dua hari saja. Kalau dia nak marah, suruh dia call aku sendiri.”
Dia menarik bagasi melepasi sekumpulan penumpang.
“Okay. Thanks. Aku belanja kau nanti.”
Haisya memandang jam di pergelangan tangannya.
Matanya membesar.
“Eh, aku dah lambat ni. Nanti aku call balik.”
Dia mempercepatkan langkah.
“Mira, serious. Thank you. Bye.”
Namun sebelum panggilan sempat ditamatkan—
Buk!
Bahu Haisya menghentam seseorang.
Tubuhnya terundur setapak. Telefon hampir tercampak dari tangan sementara bagasinya terhuyung sebelum terlanggar kaki sendiri.
“Aduh !”
Seorang lelaki di hadapannya turut berundur.
Haisya cepat-cepat menangkap telefon.
“Sorry! Sorry, saya tak nampak.”
Lelaki itu memandangnya.
Sekadar sesaat.
“Tak apa.”
“Saya betul-betul minta maaf.”
“Tak apa.”
Haisya sempat mengangguk sebelum matanya kembali kepada jam.
“Minta maaf ya.”
Kemudian dia berlalu.
Lelaki itu masih berdiri di tempat yang sama.
Dia memandang perempuan bertudung merah jambu itu menghilang di celah manusia.
Kemudian menggeleng.
“Kalau dah sibuk sangat telefon…”
“Rizal!”
Suara dari telefon di tangannya membuatkan lelaki itu tersentak.
Dia mengangkat semula telefon ke telinga.
“Ya, mak. Saya dengar.”
“Mak cakap dari tadi, hang dengar ka tidak?”
“Dengar.”
“Mak cakap apa?”
Rizal terdiam.
Matanya masih mencari arah perempuan yang melanggarnya tadi, tetapi Haisya sudah hilang.
“Mak cakap…”
Dia berdehem.
“…suruh saya balik.kampung ”
“Ha. Itu saja yang hang dengar?”
Rizal tersenyum kecil.
Kantoi.
Dia menyambung langkah.
“Mak, kita dah bincang benda ni pagi tadi.”
“Bincang apa? Mak suruh balik, baliklah.”
“Masalahnya saya dah ada rancangan lain .”
“Rancangan apa sangat?”
Rizal berhenti di tepi supaya tidak menghalang orang ramai.
“Nak pi Kota Kinabalu.”
“Buat apa?”
“Bercuti.”
“Pergi lain kali.”
Rizal menarik telefon sedikit dari telinga dan memandang skrin seolah-olah mahu memastikan wanita di hujung sana benar-benar ibu kandungnya.
Telefon kembali ke telinga.
“Mak, hotel pun saya dah booking.”
“Cancel.”
“Dah bayar.”
“Duit boleh cari.kalau susah sangat mak ganti nanti duit hotel tu”
Rizal mengangkat kening.
“Kalau macam tu jodoh pun boleh cari.”
Senyap.
Rizal terus menutup mata.
Silap.
“Rizal.”
Nada suara ibunya sudah berubah.
“Ya, mak.”
“Jangan nak tunjuk pandai sangat.”
“Saya bukan tunjuk pandai. Saya cuma...”
“Mak tak minta hang balik . mak nak hang balik.”
Rizal menyambung berjalan.
Cuti yang dirancangnya hampir dua bulan akhirnya berkecai dalam satu panggilan telefon pagi tadi.
Kota Kinabalu .Gunung Kinabalu . Makanan laut kat Api-Api.
Beberapa hari tanpa kerja, tanpa sesiapa mengarahkannya ke sana sini, tanpa perlu memikirkan apa-apa.
Itu rancangan asal.
Sebaliknya, sekarang dia berada di KL Sentral dengan sebuah beg sandang dan tiket menuju ke utara.
Perlis.
“Mak,” katanya lagi, kali ini cuba menggunakan nada diplomatik. “Apa sebenarnya yang urgent sangat sampai saya kena balik hari ni?”
“Mak dah bagitahu.”
“Mak bagitahu nak bawa saya pergi rumah orang.”
“Ha.”
“Orang tu sakit?”
“Tak.”
“Kenduri?”
“Tak.”
“Kematian?”
“Mulut tu.”
Rizal tersengih.
“Jadi?”
Ibunya menarik nafas panjang di hujung talian.
“Kita nak pergi jumpa orang.”
Rizal diam seketika.
“Mak…”
“Apa?”
“Kenapa ayat mak semakin lama semakin mencurigakan?”
“Apa yang mencurigakan?”
“Pagi tadi suruh balik. Lepas tu suruh pakai elok-elok. Sekarang nak bawa pergi rumah orang.”
Tiada jawapan.
Rizal berhenti berjalan.
Wajahnya berubah.
“Mak.”
“Hmm?”
“Mak nak jodohkan saya dengan orang, ya?”
“Bukan terus kahwin pun.”
Rizal mendongak ke siling.
“Ya Allah…”
“Kenapa pula?”
“Saya tahu!”
“Tahu apa?”
“Saya tahu mesti ada benda.”
“Jumpa dulu.”
“Tak nak.”
“Rizal.”
“Saya tak kenal dia.”
“Kenal.”
“Siapa?”
“Saudara kita.”
Mata Rizal semakin membesar.
“Saudara?!”
Beberapa orang yang lalu di sebelahnya menoleh.
Rizal merendahkan suara.
“Mak dah tak ada orang lain ke?”
“Adik dua pupu saja.”
“Ada pupu juga!”
“Dua pupu boleh kahwin.”
“Bukan isu boleh atau tak boleh, mak. Saya tak kenal dia.”
“Dulu kenal.”
“Bila?”
“Masa kecik.”
Rizal terdiam beberapa saat.
Kemudian dia ketawa kecil kerana tidak percaya.
“Mak… saya berumur dua puluh lima tahun sekarang.”
“Mak tahu umur anak mak.”
“Kalau kali terakhir saya kenal dia masa kecil, kalau dia lalu depan saya sekarang pun saya takkan kenal.”
Ibunya tidak terkesan sedikit pun.
“Sebab tu balik. Kenal balik.”
Rizal mengusap muka.
“Mak…”
“Dia cantik , pelajaran tinggi macam hang . Budi bahasa pun bagus .”
“Semua mak dalam dunia ni cakap calon pilihan dia bagus.”
“Kerja elok.”
“Saya pun kerja.”
“Sebahagian dari keluarga kita,.”
“Itulah yang menakutkan.”
“Rizal!”
Dia ketawa.
“Okay, okay.”
“Mak bukan suruh hang terus nikah. Balik dulu. Jumpa.”
“Saya dah plan ke KK.”
“KK tak lari. Boleh pi lain nanti.”
“Hotel saya—”
“Dah.”
“Duit saya—”
“Dah.”
“Cuti saya—”
“Rizal.”
Dia terus senyap.
Beberapa saat kemudian—
“Pukul berapa kereta api?”
Rizal melihat tiket di tangannya.
“Sekejap lagi.”
“Jangan tertinggal.”
“Kalau tertinggal?”
“Mak suruh Aq Teksi pergi Kuala Lumpur ambil hang.”
Rizal ketawa tidak percaya.
“Seriuslah mak?”
“Cuba.tengok ”
“Okay. Balik. Balik.”
“Bagus.”
“Tapi saya tak janji apa-apa.”
“Balik dulu.”
“Kalau saya tak suka?”
“Jumpa dulu.”
“Kalau dia tak suka saya?”
Kali ini ibunya ketawa.
“Yang tu mak langsung tak risau.”
Rizal terkedu.
“Mak!”
Talian dimatikan.
Rizal memandang telefon.
Beberapa saat.
“Mak oh mak .”
Dia memasukkan iPhone 6 Plus ke dalam poket seluar sebelum membetulkan beg di bahu.
Kota Kinabalu sudah tinggal rancangan.
Sekarang dia sedang pulang ke Perlis untuk berjumpa seorang perempuan yang wajahnya pun sudah tidak mampu diingat.
“Cantik.”
Rizal menghela nafas.
“Memang jahanam tiket flighti aku.”
Di bahagian lain KL Sentral, Haisya Sofea berdiri di hadapan papan maklumat perjalanan.
Telefon Samsung Galaxy S5 berada di tangannya.
Satu mesej daripada Mira baru masuk.
Aku cuba settle dengan boss. Kau jangan fikir kerja dulu.
Haisya tersenyum kecil.
Senanglah cakap.
Dia memasukkan telefon ke dalam beg tangan lalu memeriksa tiket sekali lagi.
EKSPRES LANGKAWI
Perjalanan ke utara.
Dia sebenarnya lebih rela menaiki bas. Lebih cepat untuk urusan yang dirancangnya, lebih biasa, dan yang paling penting—tidak perlu menghabiskan hampir separuh hari di dalam sebuah gerabak.
Tetapi cuti sekolah telah menghapuskan semua pilihan yang lebih mudah.
Haisya menarik nafas panjang.
“Dua belas jam.”
Dia memandang tiket.
“Boleh gila.”
Namun tidak ada pilihan lain.
Dia mula bergerak mengikut papan tanda menuju ke platform kereta api antara bandar.
Orang ramai semakin padat.
Beg, kotak, plastik makanan, anak kecil yang sudah mula merengek, pasangan warga emas yang berjalan perlahan, pelajar dengan beg galas.
Haisya memperlahankan langkah apabila sampai di eskalator.
Dia menarik bagasinya rapat sebelum melangkah masuk.
Eskalator bergerak turun.
Sedikit demi sedikit hiruk-pikuk ruang utama KL Sentral semakin jauh di atas.
Di bawah, platform dan landasan mula kelihatan.
Sebuah kereta api panjang sedang menunggu.
Haisya memandang tiket sekali lagi.
Koc F.
Dia mengangkat muka mencari papan tanda kedudukan koc.
Beberapa anak tangga eskalator di belakangnya, seorang lelaki turut turun.
Rizal.
Dia sedang memasukkan telefon ke dalam poket sambil menggeleng kecil, masih tidak dapat menerima hakikat bahawa percutiannya ke Kota Kinabalu telah bertukar menjadi perjalanan pulang untuk satu projek mencari menantu yang dirancang oleh ibunya.
Dia mengeluarkan tiket.
Koc F.
“Bagus.”
Rizal memandang gerabak di bawah.
“Dua belas jam pula tu.”
Haisya tidak mendengarnya.
Rizal pula tidak memandang perempuan di hadapannya.
Eskalator sampai ke penghujung.
Haisya melangkah turun dahulu dan menarik bagasinya menuju ke Koc F.
Beberapa saat kemudian, Rizal melangkah turun dari eskalator yang sama.
Mereka berjalan dalam arah yang sama.
Masih tidak menyedari satu sama lain.
Haisya sampai di pintu gerabak terlebih dahulu. Dia mengangkat bagasinya sedikit untuk melepasi ruang masuk.
Rizal muncul tidak jauh di belakang.
Haisya memandang nombor pada tiketnya.
0244.
Dia melangkah masuk.
Rizal pula melihat tiket di tangannya.
0245.
Dia turut melangkah masuk ke Koc F.
Dua orang asing.
Dua tiket berturutan.
Dan perjalanan ke utara baru sahaja bermula.
BAB 2
0244 dan 0245
Haisya berhenti sebaik sahaja menemui nombor yang tertera pada tiketnya.
0244.
Dia mengangkat muka.
Seorang lelaki sudah berada di tempat duduk sebelah lorong.
Haisya terdiam seketika.
Macam pernah nampak.
Lelaki itu pula sedang membetulkan beg sandangnya di bawah tempat duduk sebelum mengangkat muka.
Mata mereka bertemu.
Dua saat.
Rizal mengerutkan dahi.
Haisya juga.
Kemudian Haisya teringat.
Lelaki yang dilanggarnya di KL Sentral tadi.
“Oh.”
Rizal nampaknya teringat pada waktu yang sama.
“Oh.”
Haisya tersenyum nipis, sedikit malu.
“Awak yang tadi kan?”
“Yang kena langgar?”
Terus hilang senyum Haisya.
“Saya dah minta maaf.”
“Saya tak kata apa pun.”
“Cara awak cakap tu macam saya langgar awak sampai cedera parah”
Rizal tersenyum.
Haisya memandang tiket sekali lagi sebelum menunjuk ke arah tempat duduk di tepi tingkap.
“Err… boleh saya masuk? Seat saya yang dalam tu.”
Rizal melihat nombor tempat duduk.
Kemudian tiket di tangan Haisya.
Dia bangun tanpa banyak soal.
“Boleh.”
“Terima kasih.”
Rizal mengundurkan tubuh ke lorong untuk memberikan ruang.
Haisya menarik bagasinya ke tepi.
“Beg tu nak letak atas?”
“Tak apa. Saya boleh.”
Dia cuba mengangkat bagasi.
Berat.
Rizal secara refleks mahu membantu.
“Biar saya—”
“Tak apa.”
Haisya berjaya juga mengangkatnya ke ruang simpanan.
Rizal mengangkat kedua-dua tangan.
“Okay.”
Haisya masuk ke tempat duduk tepi tingkap lalu duduk.
Rizal kembali ke tempatnya.
Dia melihat tiket sendiri.
0245.
Kemudian melihat perempuan di sebelah.
Perjalanan dua belas jam.
Rizal menarik nafas perlahan.
Harap-harap dia tak kena langgar lagi.
Haisya langsung tidak mempedulikannya.
Samsung Galaxy S5 sudah berada di tangannya.
Skrin dibuka.
WhatsApp.
Mesej daripada Mira masih ada.
Haisya menaip.
Mira, boss ada?
Tidak sampai seminit, dua tanda biru muncul.
Ada. Tengah meeting kejap. Kenapa?
Jari Haisya terhenti di atas skrin.
Dia menarik nafas.
Kemudian menaip semula.
Aku rasa aku kena extend sampai Selasa.
Tiga titik muncul hampir serta-merta.
Hilang.
Muncul semula.
HAH?
Haisya mengetap bibir.
Aku explain nanti. Tolong cover dulu.
Balasan datang.
“Kau sendiri message boss. Aku tak berani .“
Haisya memejamkan mata.
Bagus.
Dia keluar daripada perbualan Mira.
Mencari satu lagi nama.
Beberapa saat dia hanya memandang skrin.
Kemudian mula menaip.
Good evening, boss. Sorry to disturb. I need to extend my leave until Tuesday due to family matters in Perlis. I apologize for the short notice.
Dia membaca semula.
Padam perkataan family matters.
Taip semula.
Padam lagi.
Rizal di sebelah tidak sengaja menjeling.
Bukan cuba membaca.
Cuma susah untuk tidak perasan apabila seseorang sudah menaip dan memadam ayat yang sama tiga kali.
Akhirnya Haisya menekan Send.
Dia meletakkan telefon di atas paha.
Sepuluh saat.
Telefon berbunyi.
Haisya terus mengambilnya.
Wajahnya berubah.
Rizal memandang ke hadapan.
Kemudian ke tingkap di sebelah Haisya.
Kemudian kembali ke hadapan.
Dia tidak membaca.
Tetapi daripada cara perempuan itu menarik nafas, mesej yang diterimanya jelas bukan ucapan selamat bercuti.
Tuesday? Haisya, you cannot keep extending your leave at the last minute.
Mesej kedua masuk.
We have the VIP wedding this weekend. You know how important this function is.
Haisya menghembus nafas perlahan.
Mesej ketiga.
You are the restaurant manager. I need you here.
Haisya mula menaip.
I understand, boss. I’m really sorry. This wasn’t planned.
Balasan datang lagi.
Nothing is ever planned, Haisya. That is why managers are expected to manage.
Haisya berhenti.
Ayat itu kena tepat pada tempat yang paling menyakitkan.
Dia seorang pengurus.
Memang tugasnya mengurus.
Jadual pekerja.
Tempahan meja.
Tetamu.
Aduan.
Stok.
Shift.
Majlis.
Orang sakit.
Orang cuti.
Orang tak datang kerja.
Semua boleh diurus.
Kecuali hidup sendiri.
Dia menaip lagi.
I’ve briefed Mira. Farah can handle the floor and the banquet team is managing the wedding function. I’ll remain reachable by phone.
Jawapan tidak datang serta-merta.
Haisya menunggu.
Rizal masih duduk di sebelah.
Kali ini dia betul-betul cuba tidak melihat.
Dia mengeluarkan iPhone dari poket.
Buka skrin.
Tutup.
Buka semula.
Tiada apa yang menarik.
Dia membuka Facebook.
Scroll dua kali.
Tutup.
Haisya masih menunggu WhatsApp.
Rizal menyandarkan kepala.
Beberapa saat kemudian telefon Haisya berbunyi.
We’ll discuss this when you return.
Itu sahaja.
Haisya merenung ayat tersebut.
Entah kenapa ayat pendek itu lebih menakutkan daripada lima perenggan marah.
Dia menaip:
Understood. Thank you, boss.
Send.
Telefon terus dikunci.
Haisya menyandarkan tubuh ke kerusi.
Matanya terpejam.
“Habislah…”
Perlahan.
Tetapi cukup jelas untuk orang di sebelah mendengar.
Rizal menoleh.
Haisya membuka mata.
Rizal cepat-cepat memandang depan.
Senyap.
Beberapa minit berlalu.
Suasana dalam Koc F semakin penuh. Penumpang masih mencari tempat duduk. Ada yang sibuk menyusun beg, ada yang memanggil anak supaya jangan berlari di lorong.
Haisya memandang keluar tingkap.
Rizal memandang jam.
Kemudian memandang depan.
Kemudian pandang Haisya.
Pandang depan balik.
Dua belas jam.
Dia tidak mungkin duduk dua belas jam dalam keadaan begini.
“Balik Perlis?”
Haisya tidak menoleh.
“Hmm.”
Rizal menunggu.
Itu saja?
Dia cuba lagi.
“Arau?”
Kali ini Haisya menoleh sedikit.
“Ya.”
“Oh.”
Senyap lagi.
Rizal mengangguk seorang diri.
Hebat.
Perbualan yang sangat berjaya.
Dia mencuba sekali lagi.
“Saya pun turun kat Arau.”
“Hmm. Ok ”
Rizal memandang perempuan itu.
Kemudian memandang dirinya sendiri.
Entah-entah muka dia memang tak sesuai diajak berbual.
“Awak memang orang Perlis?”
“Ya.”
Jawapan kali ini mempunyai satu perkataan penuh.
Kemajuan.
“Area mana?”
Haisya akhirnya berpaling.
Bukan marah.
Tetapi wajahnya jelas menunjukkan dia tidak mempunyai tenaga untuk sesi soal jawab.
“Kenapa?”
Rizal terdiam.
“Tak ada apa.. Saja nak nak tanya ”
“Hmm. Ok ”
Haisya kembali memandang tingkap.
Rizal mengangguk perlahan.
“Okay.”
Beberapa saat.
Dia membuka telefon semula.
Kali ini dia faham mesejnya.
Jangan kacau.
Rizal memasukkan earphone ke telinga.
Haisya pula menyandarkan kepala ke tingkap.
Mereka duduk tidak sampai seinci dua tangan antara satu sama lain.
Tetapi ketika itu, jarak mereka terasa jauh.
Kereta api masih belum bergerak.
Dan Rizal sudah mula tertanya-tanya bagaimana dia hendak bertahan selama dua belas jam dengan perempuan paling tidak berminat untuk bercakap dengannya di seluruh Koc F.